corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UM ANUGERAHKAN IJAZAH KEHORMAT DOKTOR SAINS POLITIK KEPADA TOKOH UTAMA DUNIA ISLAM, DR. AL-ISSA

Universiti Malaya telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik kepada Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa dalam Istiadat Konvokesyen Khas Universiti Malaya bagi menghargai sumbangan Dr. Al-Issa dalam Dunia Islam kontemporari.

Pro-Canselor Universiti Malaya, Toh Puan Dato’ Seri Hajah Dr. Aishah Ong telah menyampaikan anugerah tersebut. Istiadat Konvokesyen Khas tersebut juga turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam ucapan pidato penganugerahan berkata Universiti Malaya amat berbesar hati menamakan Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik bagi menghargai sumbangan beliau sebagai seorang tokoh utama Dunia Islam yang sangat komited mempromosikan kesedaran intelektual dan nilai keagamaan dalam kalangan masyarakat minoriti Islam dan telah memberi sumbangan yang sangat besar untuk menyebarkan nilai-nilai keadilan, toleransi, dan keamanan dunia.

“Sebagai Setiausaha Agung The Muslim World League dan Pengerusi Centre for Responsible Leadership, beliau menggunakan amanah yang diberikan untuk menjadi suara global terkemuka Islam moderat, komited untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Sebagai Setiausaha Agung Muslim World League, Dr. Al-Issa telah mengembara ke seluruh Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Asia untuk bertemu dengan tokoh-tokoh ternama dan ahli-ahli Parlimen dari bidang keadilan, undang-undang dan hak asasi manusia serta pemimpin agama dan komuniti terkemuka.

“Dr. Al-Issa juga mengetuai Intellectual Warfare Center, iaitu sebuah badan yang berafiliasi dengan Kementerian Pertahanan Arab Saudi. Melalui badan ini, beliau memainkan peranan penting dalam memerangi ideologi ekstremis dan keganasan. Peranan ini seiring dengan tanggungjawab beliau sebagai Setiausaha Agung Muslim World League yang mewakili umat Islam di seluruh dunia untuk membina perkongsian baharu dalam kalangan pelbagai komuniti, kepercayaan dan negara.

“Kehebatan dan kecekapan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanah terlihat pada kepemimpinan dan inisiatifnya memerangi anti-Semitisme, Islamophobia, dan ujaran kebencian (hate speech) di seluruh dunia. Tanpa penglibatan beliau yang sentiasa bersedia mendepani segala cabaran, menjadi perantara antaragama dan penghapus persepsi negatif, persepsi tentang Islam dan Dunia Islam mungkin agak sukar untuk diubah,” katanya.

Last Update: May 14, 2024