KUALA LUMPUR, 11 Januari 2015 – Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM) menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Rancangan Persediaan Khas ke Jepun Sesi 2014/2015 yang berlangsung di Auditorium Institut Pengurusan & Pemantauan Penyelidikan UM.
Majlis tersebut dihadiri oleh Y.A.Bhg Toh Puan Dato’ Seri Hajah Dr. Aishah Ong, Pro-Canselor UM, TYT Makio Miyagawa, Duta Besar Jepun ke Malaysia, En. Imran Abdullah, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Modal Insan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Prof. Dato’ Dr Mohd Amin Jalaludin, Naib-Canselor UM, En. Toyoda Shoichi, Pengarah The Japan Foundation Kuala Lumpur dan Prof. Madya Dr. Kamaludin A. Rashid, Pengarah Pusat Asasi Sains.
Seramai seratus peratus atau 73 orang pelajar yang mengikuti program tersebut berjaya menerima sijil tamat latihan selepas menduduki peperiksaan Examination for Japanese University Admission for International Students (EJU) dan Ujian Pertengahan Semester Empat dan sekali gus melayakkan diri ke fakulti-fakulti Kejuruteraan di universiti-universiti di Jepun. Daripada bilangan tersebut, lima orang pelajar telah terpilih untuk menerima Hadiah Pelajar Terbaik yang merupakan tanda penghargaan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.
Pelajar tersebut adalah Ezmir Izammel Bin Zainoren, Amri Bin Ramali, Najman Helmi Bin Ja’afar, Mohd Hasmizul Fiqri Bin Simi dan Muhammad Haziq Asyraf Bin Mohd Tohir. Mereka beserta pelajar lain program ini akan melanjutkan pengajian ke Jepun pada penghujung bulan Mac 2015.