corporate@um.edu.my                   

6,376 PELAJAR SARJANA MUDA UM AKAN MULA MENDAFTAR BAGI SESI 2025/2026

Universiti Malaya  membuka tirai baharu pada 4 Oktober 2025 dengan menyambut seramai 6,376 pelajar baharu Sarjana Muda yang memulakan pengajian bagi Sesi Akademik 2025/2026.

Majlis pendaftaran ini bukan sekadar formaliti, tetapi menjadi titik permulaan kepada pengalaman akademik yang bakal membentuk generasi pemimpin masa hadapan. Turut hadir menyaksikan proses ini ialah YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, yang meluangkan masa meninjau suasana pendaftaran.

“Tahniah kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang kini menjadi sebahagian daripada sebuah institusi penting dan membanggakan negara. Kami berharap anda semua akan memberikan sepenuh tumpuan kepada pengajian serta berusaha mencapai kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi. Semoga anda semua menjadi insan yang hebat, berilmu, dan berbakti kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menyifatkan hari ini sebagai detik bersejarah dan membanggakan bukan sahaja buat para mahasiswa, malah juga keluarga yang sentiasa menjadi pendorong utama sepanjang perjalanan mereka.

“Hari ini bukan sekadar hari anda melangkah masuk ke alam pengajian tinggi, tetapi juga permulaan kepada harapan, pengalaman, dan peluang baharu. Di Universiti Malaya, para mahasiswa bukan sahaja akan menimba ilmu, malah akan menemui rakan baharu serta membina kenangan yang kekal sepanjang hayat. Pengajian ini bukan hanya mengenai buku dan kuliah, tetapi tentang perjalanan yang akan membentuk identiti serta arah tuju masa depan anda,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para mahasiswa agar berani mencabar diri, menyertai pelbagai aktiviti, bertanya soalan, serta menghargai setiap detik perjalanan di Universiti Malaya.

“Masa di universiti mungkin singkat, tetapi pengalaman yang diperoleh akan menjadi paling berharga. Pihak pengurusan Universiti Malaya bertekad memastikan pengalaman anda di sini bukan sahaja bermakna, tetapi juga menyeronokkan. Ini adalah masa anda, kisah anda, dan masa depan anda. Universiti Malaya berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Selamat datang ke keluarga besar Universiti Malaya, mari kita ciptakan pengalaman yang luar biasa, bersama-sama,” ujar beliau.

Saudara Ngiam Jet Han, pelajar baharu Fakulti Kejuruteraan, menyatakan rasa teruja dengan kelancaran proses pendaftaran.

 “Proses pendaftaran hari ini berjalan dengan sangat lancar, dan saya berasa amat teruja kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki ke Universiti Malaya,” katanya.

 Turut berkongsi pengalaman ialah YB Sivakumar Varatharaju, Ahli Parlimen Batu Gajah, Perak, yang juga alumni Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau kembali ke kampus setelah sekian lama, kali ini bagi mendaftarkan anak perempuannya sebagai mahasiswa UM.

 “Saya berasa amat gembira melihat suasana meriah di kampus ini. Jelas kelihatan banyak pembangunan dan perubahan telah berlaku. Proses pendaftaran hari ini juga berjalan dengan sangat sistematik. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Naib Canselor serta pihak pengurusan Universiti Malaya atas kejayaan ini,” ujarnya.

 Sementara itu, Saudari Maizatul Eiyyna Arif, pelajar Fakulti Perubatan yang berasal dari Sabah dan juga alumni ASASI UM, turut melahirkan rasa syukur kerana dapat menyambung pengajian di universiti yang sama.

 “Walaupun sedikit terkilan kerana ayah saya tidak dapat hadir bersama hari ini, saya tetap bersemangat dan teruja untuk bertemu kembali rakan-rakan lama, di samping berkenalan dengan rakan-rakan baharu di Kolej Kediaman,” katanya.

Last Update: Oct 06, 2025