corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

GERAN PENYELIDIKAN BERJUMLAH RM10 JUTA DITAWARKAN KEPADA PENYELIDIK BAGI MENGATASI PERMASALAHAN GLOBAL

Universiti Malaya menawarkan RM10 juta geran penyelidikan di bawah “UM GLOBAL TRANSFORMATION RESEARCH GRANT” kepada penyelidik-penyelidik dan ahli akademik negara bagi menyelesaikan permasalahan global dalam tempoh tiga tahun. 

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, geran penyelidikan di bawah Universiti Malaya ini ditawarkan untuk menerajui usaha menyelesaikan permasalahan global dengan memanfaatkan kepakaran Penyelidik dalam bidang Sains Sosial, Seni dan Kemanusiaan seterusnya menyokong inisiatif pembangunan dunia moden seperti ekonomi, sosial, politik dan alam sekitar. 

“Ia dibangunkan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan hasrat Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mengetengahkan tema penyelidikan khususnya berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), polisi kerajaan sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta menyokong usaha kerajaan dalam menetapkan perancangan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Skop geran penyelidikan ini akan membantu negara untuk menyelesaikan cabaran semasa yang dihadapi melalui bakat kepakaran yang dimiliki bertepatan dengan lima fokus utama yang diketengahkan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya. 

“Geran penyelidikan ini juga dibangunkan selaras dengan tagline Universiti Malaya: “Home of the Bright, Land of the Brave; Di Sini Bermulanya Pintar, Tanah Tumpahnya Berani,” katanya. 

Berikut adalah objektif dan skop penyelidikan ini : 

  1. Mendapatkan peluang dana penyelidikan berimpak tinggi hasil daripada peningkatan kualiti kepimpinan pemikiran “thought leadership” yang membawa impak kepada negara dan antarabangsa.
  2. Menyokong usaha UM dalam meningkatkan keterlihatan dapatan penyelidikan yang berimpak kepada pihak berkepentingan utama termasuk kerajaan dan pembuat dasar, universiti awam dan swasta, industri serta masyarakat. 
  3. Menjalinkan kolaborasi antara penyelidik dan pihak pemegang taruh termasuk kerajaan dan badan-badan berkanun, ahli akademik, industri dan antarabangsa melalui program penyelidikan multifaceted.
  4. Memberi penyelesaian yang kreatif dan inovatif mengikut kepentingan sosial, industri dan antarabangsa.
  5. Membangunkan penyelidikan dalam bidang Sains Sosial, Seni dan Kemanusiaan selari dengan SDG.

Setiap program penyelidikan yang dicadangkan oleh pemohon mestilah berdasarkan kepada salah satu daripada tujuh (7) tema penyelidikan (research themes) yang menyokong inisiatif gagasan pelan hala tuju dan dasar-dasar kebangsaan:

  1. Inovasi Sosial dan Inisiatif untuk Pembangunan Mampan dan Daya Tahan Iklim (Social innovation and initiatives for Sustainable Development and Climate Resilience)
  2. Kesejahteraan, Kebahagiaan dan Kualiti Hidup (Wellbeing, Happiness and Quality of Life)
  3. Masyarakat Masa Hadapan (Future-led Society)
  4. Tadbir Urus dan Dasar (Governance and Policy)
  5. Budaya, Agama dan Latar Belakang (Culture, religion and identity)
  6. Kepelbagaian, Ekuiti dan Kebersamaan (Diversity, Equity and Inclusion (DEI))
  7. Keselamatan dan Keterjaminan (Safety and Security)

Semua penyelidik daripada Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) (untuk Ketua Program dan Ketua Projek) serta agensi kerajaan yang berkaitan (untuk Ketua Projek sahaja) adalah dijemput untuk memohon geran penyelidikan ini.  

Last Update: Oct 04, 2024