corporate@um.edu.my +603-7967 7022                  

KASIBAN DAN TAFTAZANY DIANUGERAHKAN ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA


Dua graduan cemerlang yang dibesarkan oleh ibu tunggal masing-masing terima Anugerah Pelajaran DiRaja di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-64.

Kasiban A/L Muniandy, graduan dalam bidang kejururawatan dari Fakulti Perubatan, telah meraih Anugerah Dekan selama lapan semester berturut-turut. Beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga aktif dalam kepimpinan, termasuk menjawat jawatan Presiden Persatuan Pelajar Kejururawatan, Fakulti Perubatan.

"Anugerah ini sangat bermakna bagi saya, lebih-lebih lagi kerana ia menjadi penghormatan kepada mendiang bapa saya. Sewaktu kecil, bapa sering membawa saya melihat suasana universiti, dengan harapan saya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Hari saya menerima anugerah ini kebetulan jatuh pada tarikh ulang tahun pemergiannya. Saya yakin, beliau sentiasa berbangga dengan kejayaan saya," kata Kasiban.

Sebagai anak sulung yang membesar dalam keluarga ibu tunggal, Kasiban menjadikan kejayaannya sebagai inspirasi untuk mengubah nasib keluarga. Dengan nilai empati yang tinggi, beliau turut membantu masyarakat melalui pelbagai inisiatif seperti Program Sarapan Percuma dan pengumpulan dana untuk mereka yang memerlukan.

Nama yang dinisbahkan kepada tokoh ilmuan teologi Islam ini, Muhammad Taftazany Abd Rahman, merupakan graduan dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau berasal dari Baling, Kedah, dan merupakan seorang graduan yang gigih berjuang demi kecemerlangan, meskipun kehilangan bapa pada usia lima tahun.

“Anugerah ini adalah hasil daripada tekad, ketekunan, dan cita-cita tinggi yang saya tanamkan sejak awal menjejakkan kaki ke universiti. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih menempuh pelbagai cabaran hidup, termasuk dibesarkan dengan penuh pengorbanan oleh ibu tersayang,” kata Taftazany.

Beliau, yang juga dinobatkan sebagai Tokoh Akademik dalam Majlis Anugerah Dekan dan Tokoh Siswa, telah menghasilkan lebih 20 artikel ilmiah dan karya kreatif, termasuk puisi sastera. Taftazany percaya bahawa seorang graduan memikul amanah besar, bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada masyarakat dan ilmu yang diperoleh daripada para pensyarah.

"Kita perlu keluar dari zon selesa dan mengembangkan diri melalui akademik, kepimpinan, kesukarelawanan, serta penglibatan dalam program berimpak tinggi yang memberikan nilai tambah kepada kita sebagai mahasiswa," tambah beliau.

Dengan semangat kental dan sokongan daripada ibu tercinta, Taftazany terus menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi untuk berjaya, meskipun pernah menghadapi cabaran kehilangan bapa akibat kanser paru-paru.

Universiti Malaya pada tahun ini meraikan 9,253 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-64 dalam 16 sidang bermula 30 November hingga 8 Disember 2024.

Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-64 telah diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.




Last Update: Dec 05, 2024