Universiti Teknologi MARA (UiTM - B) muncul johan bagi ketegori bahasa Melayu dalam Pertandingan Akhir Debat Perdana Gender 2015, manakala kategori bahasa Inggeris dimenangi oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIAM - A).
Pertandingan akhir kategori bahasa Melayu yang membawa usul “Imuniti Kepada Pelarian Wanita” menyaksikan UiTM (B) menewaskan UIAM (A) yang dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua, UIAM (B), tempat ketiga dan Universiti Malaya (A), di tempat keempat. Pendebat UiTM (B) iaitu Adzlan Qushaimi Jamaludin dinobatkan pendebat terbaik pertandingan akhir bagi kategori ini.
Aksi pendebat UM dan UiTM
Sementara itu, pertandingan akhir kategori bahasa Inggeris yang berlangsung pada sebelah petang hari yang sama menyaksikan UIAM (A) mempertahankan kemenangan yang diperolehi pada edisi penganjuran lepas apabila menewaskan UiTM B, UIAM (B) dan Asia Pacific University (APU). Wakil UIAM (A), Shahrulbanun Mohd Arif Sabri dinobat pendebat terbaik pertandingan akhir kategori ini.
Debat Perdana Gender 2015 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) mengumpulkan 104 pasukan iaitu 56 bagi kategori bahasa Melayu dan 48 bagi kategori bahasa Inggeris yang melibatkan 37 IPT dari dalam dan luar negara. Pertandingan berlangsung dari 13 – 16 November lepas.
Para pemenang menerima hadiah masing-masing daripada YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan YBhg. Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UM.
Juara pertandingan membawa pulang wang tunai RM3,500 beserta trofi dan sijil; naib juara menerima wang tunai RM2,500, trofi, sijil; tempat ketiga – wang tunai RM2,000, trofi, sijil; dan tempat keempat – wang tunai RM1,500, trofi dan sijil. Manakala pendebat terbaik pertandingan akhir menerima RM600.
Untuk rekod, pasukan UIAM mendominasi pertandingan ini pada tahun 2015 apabila kedua-dua wakil mereka menjuarai kategori bahasa Melayu dan Inggeris.
Pertandingan Debat Perdana Gender merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) sejak 2011 dan dilaksanakan dengan kerjasama rapat Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan institusi pengajian tinggi tempatan (IPT). Pada tahun ini, UM dipilih selaku tuan rumah.
Penganjuran pada tahun ini juga menyaksikan buat julung kalinya penyertaan pertandingan dibuka kepada pelajar dari universiti-universiti negara ASEAN. Antara universiti yang menyertai adalah Universitas Gadjah Mada, Indonesia; Cebu Institute of TechnologyUniversity, Filipina dan Singapore Management University, Singapura.
Tujuan penganjuran adalah bagi memberi ruang kepada belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara untuk membincangkan dan memberi idea yang boleh dijadikan asas pertimbangan dalam perancangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) untuk melaksanakan tanggungjawab berkaitan gender.
Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan mewujudkan kesedaran belia terhadap isu gender agar dapat membentuk pemimpin masa depan yang peka dan mempunyai pengetahuan mengenai gender (gender sensitize).
Antara penonton yang hadir memberi sokongan
Johan kategori bahasa Inggeris, UIAM
Johan kategori bahasa Melayu, UiTM
Keempat-empat pasukan dengan aksi masing-masing di pentas akhir kategori bahasa Melayu
Para pemenang kategori bahasa Inggeris
Para pemenang kategori bahasa Melayu
Pendebat UIAM (A) bertindak selaku pembangkang penutup
Pendebat UIAM (A) menyampaikan hujahnya
Pendebat UIAM (B)
Penonton memenuhi Dewan Tunku Canselor, UM semasa pertandingan akhir
Suasana semasa pertandingan akhir kategori bahasa Melayu
Tangisan gembira pendebat UiTM, Zuratul Ain selepas diumumkan sebagai juara
Tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir
Wakil pendabat UM menyampaikan hujah beliau
Wakil pendebat UIAM (B) dan UM (A) dengan aksi mereka di pentas akhir