corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM - Mohammad Anis Abdul Samad

People@UM : Mohammad Anis Abdul Samad

“Tanjak ini bukan sekadar busana atau fesyen orang Melayu; fungsinya melangkaui pengenalan diri dan taraf status individu tersebut di dalam masyarakat,” kata En. Mohammad Anis Abdul Samad memulakan bicara, ketika ditemui di Muzium Etnografi Melayu yang terletak di Aras 1, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya, baru-baru ini.

“Jenisnya yang mencecah ratusan jenis karangan, baik tradisi mahu pun moden, membawa simbolisme dan signifikasi yang unik dan khusus untuk si pemakai. Tanjak ‘Dendam Tak Sudah’ contohnya, hanya boleh dikenakan oleh sultan yang memerintah. Maka kerana itulah ia hanya boleh dipakai oleh Yang Dipertuan Agong, dan bukannya rakyat biasa,” tambahnya, sambil matanya melirik ke arah deretan tanjak yang sedang dipamerkan di Muzium.

Anak kelahiran Klang yang sudah bertugas sebagai kurator di UM sejak 2002 ini sememangnya amat mencintai budaya dan adat Melayu, dan sentiasa mencari ruang untuk mendalaminya bersama mereka yang lebih arif. “Saya amat bersyukur kerana melalui tugas saya inilah, saya berpeluang mempelajari asas ukiran kayu, penulisan khat, sulaman tekat, anyaman, mengarang tanjak, dan lain-lain bersama pakar dan pengamal setiap cabang seni ini,” kata ayah kepada empat cahaya mata ini seraya membetulkan tanjak ‘Sumangek Ugik’ yang dipakainya.

Kenangan yang paling tidak dapat dilupakannya sepanjang bertugas ialah apabila berpeluang menimba sedikit ilmu pengukiran kayu dari Adiguru Kraf Kayu sendiri, Abd. Muhaimin Hasbollah. Menurut En. Mohammad Anis, selain bakat dan minat, ukiran kayu yang baik terletak pada kreativiti si pengukir mengaplikasi unsur alam kepada motif ukiran yang ‘hidup dan bercerita’. 

Tugasnya sebagai kurator juga turut membawanya ke pelbagai lokasi kerja lapangan, mengiringi penyelidik APM yang melakukan penyelidikan khusus mengenai masyarakat setempat. “Semasa membantu kerja penyelidikan Mantan Pengarah APM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan mengenai kain tenunan songket, saya berpeluang menjejakkan kaki ke Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, tanah asal kain songket etnik Sambas,” katanya sambil menuding ke arah salah satu kain songket berwarna hijau yang dipamerkan.

Jika anda ingin berbual lebih lanjut mengenai pelbagai aspek budaya Melayu, dari fungsi keris sebagai alat pengenalan diri, sehinggalah sebab mengapa air yang disimpan di dalam labu Sayong sentiasa sejuk dan nyaman; anda bolehlah melawat En. Mohammad Anis di Muzium Etnografi, ya?

“Muzium ini sentiasa terbuka menerima pelawat dari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang,” kata si penggemar lempeng kelapa cicah sambal sardin ini mengakhiri temubual. 

Photos by Mohd. Fadhli Yong / CCO

#ServingTheNation

#ImpactingTheWorld

#WithYouItsPossible

Last Update: Aug 05, 2022