KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER 2022 : Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada tokoh sejarah, Profesor Dato’ Wang Gungwu di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-62 pada hari ini.
Profesor Dato’ Wang Gungwu merupakan perintis kepada Kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Beliau merupakan kumpulan pertama pensyarah yang dilantik di Kampus Lembah Pantai ketika Universiti Malaya di Kuala Lumpur dibuka.
“Penganugerahan ini merupakan penghormatan yang sangat besar buat saya dan ianya merupakan kenangan nostalgia untuk berada di kampus semula. Saya mempunyai terlalu banyak kenangan indah di kampus, dan pada hari ini di Dewan Tunku Canselor mengingatkan kembali kenangan-kenangan lalu,” kata Profesor Dato’ Wang.
Profesor Dato’ Wang telah dilahirkan di Surabaya, Indonesia pada tahun 1930. Beliau telah dibesarkan di Ipoh, Perak dan menerima pendidikan awal di Sekolah Anderson, Ipoh. Pada tahun 1949, beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan pelajar yang meneruskan pelajaran di Universiti Malaya. Beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dan kemudiannya menyambung pelajaran di School of Oriental and African Studies, London University pada tahun 1957. Beliau telah kembali untuk mengajar seketika di Universiti Malaya di Singapura sebelum dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kampus Kuala Lumpur pada tahun 1959.
Beliau telah dilantik sebagai Profesor pada tahun 1963 pada usia hanya 33 tahun. Pada tahun 1963 juga, beliau telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Sastera yang keempat. Di bawah kepimpinan Profesor Dato’ Wang Gungwu, Jabatan Sejarah Universiti Malaya telah berkembang menjadi Jabatan Sejarah yang paling terkenal di Asia.
Profesor Dato’ Wang telah menunjukkan kepimpinan akademik yang luar biasa. Beliau telah menerbitkan beberapa karya utama iaitu Nanhal Trade (1958) dan penulisan beliau bertajuk A Short History of the Nanyang Chinese (1959) yang masih menjadi rujukan asas kepada kajian mengenai China dan masyarakat Cina di rantau Dunia Melayu.
Universiti Malaya pada tahun ini meraikan 7,863 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-62 dalam 15 sidang bermula 5 Disember hingga 12 Disember 2022. Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-62 yang berlangsung pada hari ini telah diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.