Universiti Malaya menerusi Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menganjurkan Seminar Pengurusan Kewangan diadakan eksklusif bagi pesara dan bakal pesara pada 17 Oktober 2023 yang lepas bersempena sambutan Hari Warga Emas Peringkat Zon di Petaling Jaya, Selangor.
Seramai 115 orang pesara dan bakal pesara telah hadir bagi sesi tersebut dimana tumpuan seminar ini melibatkan perancangan, perlaksanaan dan pemantauan kewangan yang memfokuskan kepada segmen bersasar di kalangan pesara dan bakal pesara di zon Petaling Jaya, khususnya kawasan Taman Medan dan Taman Dato Haron, Petaling Jaya.
Menurut Profesor Madya Dr. Zalfa Laili Hamzah, ketika berucap dalam seminar, kesejahteraan keluarga adalah bergantung cara bagaimana kewangan dapat diuruskan dengan bijak oleh ketua keluarga di samping faktor lain melibatkan kesihatan, pendidikan, spiritual dan sebagainya. Oleh itu ianya harus diuruskan dengan baik dari peringkat awal dalam menjalani kehidupan seharian dengan memikirkan matlamat kewangan jangkamasa pendek dan panjang iaitu yang akan melibatkan kewangan selepas persaraan.
“Seminar ini turut memberi pendedahan kepada peserta berkenaan aspek pengurusan kewangan untuk pesara dan bakal pesara oleh wakil Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu Puan Mogana a/p Murugan, perkhidmatan yang diberikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang disampaikan oleh Encik Mohd Adnan Anan Abdullah, dan taklimat Celik Kewangan Digital oleh Puan Siti Mariam Abdul Mutalib dari Bank Negara Malaysia. Selain itu, Encik Muhammad Nizam bin Muhammad@ Mokhtar yang juga dari Bank Negara Malaysia turut berkongsikan pengalaman dalam mengendalikan kes-kes penipuan kewangan atau scam. Di penghujung program, Encik V. Murali Dharan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyampaikan taklimat berkenaan penuaan aktif di samping menunjukkan beberapa aktiviti senaman ringkas yang boleh diamalkan oleh para peserta,” katanya.
Tambahnya lagi, memetik daripada data Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2022 telah mendedahkan pelbagai "kebenaran yang menyakitkan" mengenai keadaan kewangan rakyat semasa, termasuk simpanan kehabisan, isu aliran tunai dan trend lain yang membimbangkan. Hasil tinjauan menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia mengalami kehabisan simpanan yang menyebabkan tidak mempunyai wang yang cukup untuk fasa persaraan.
Seminar ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Zalfa Laili Hamzah dan rakan penyelidik Profesor Madya Dr. Mohd. Edil Abdul Sukor, Datin Profesor Madya Dr. Izlin Ismail dan Haji Norhashimi Saad. Seminar ini telah dirasmikan oleh Puan Norah, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Selain MBPJ, program ini juga telah mendapat kerjasama dari Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).