corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

5,048 MAHASISWA MULA MENDAFTAR SECARA RASMI DI UNIVERSITI MALAYA

Universiti Malaya menyambut kehadiran seramai 5,048 mahasiswa baharu bagi Sesi Akademik 2023/2024.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Sabri Musa berkata, pendaftaran mahasiswa ke kolej kediaman telah mula diadakan pada 30 September 2023 dengan seramai 1,929 mahasiswa telah mendaftar. Pendaftaran akan bersambung pada hari ini  dengan anggaran seramai 2,500 mahasiswa.

“Saya mewakili pengurusan Universiti Malaya mengucapkan selamat datang kepada mahasiswa ke universiti ke-65 terbaik di dunia. Universiti Malaya merupakan pilihan yang tepat dan pengurusan Universiti mengharapkan jumlah yang lebih besar pada sesi kemasukan yang akan datang.

Menurut Anne Nerissa, yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan dan merupakan pelajar Fakutli Sastera dan Sains Sosial berkata beliau sangat gembira kerana berjaya dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan sedikit gementar kerana ini merupakan pengalaman pertamanya berjauhan dari keluarga. Menurut ayahnya, Peter Santhiago berkata beliau mengharapkan anaknya berjaya dan dapat mengejar cita-citanya.

Chong Siew Lee, ibu kepada mahasiswa yang berasal dari Johor, Saudari Yap Rou Yi, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat berkata Universiti Malaya merupakan pilihan pertama anaknya dan beliau mengharapkan anaknya seronok menjalani kehidupan di kampus dan memperoleh kerja yang baik dan dapat memberi sumbangan kepada Universiti.

"Saya bersyukur kerana berjaya menjejakkan kaki ke universiti terbaik negara ini, dan semakin mendekati cita-cita saya untuk menjadi sebahagian dari generasi pelapis pemimpin negara pada masa akan datang. Ibu saya juga sangat gembira kerana beliau juga merupakan alumni Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2001.

“Alamat di kad pengenalan saya ialah Kolej Kediaman Kedua UM, kerana ayah saya pernah berkhidmat sebagai Pengetua di sini pada tahun 2014 hingga 2017. Kebetulan saya juga ditempatkan di sini untuk penginapan sepanjang tahun pertama pengajian saya ini. Saya masih teringat pernah bermain rollerblade di gelanggang tenis di sini semasa kecil dahulu,” menurut Muhammad Hariz Hakimi bin Nahrizul Adib, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan.

Last Update: Jan 02, 2024