
Foto: Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari
Konflik sesama pelajar yang kelihatan kecil tidak boleh dipandang ringan apabila seseorang remaja sudah lama memendam tekanan emosi kerana ia boleh menjadi titik pencetus kepada ledakan agresif atau tindakan ekstrem.
Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, risiko itu menjadi lebih membimbangkan apabila tekanan psikososial berlaku ketika bahagian otak remaja yang mengawal impuls, menilai risiko dan membuat pertimbangan rasional masih dalam proses kematangan.
Menurutnya, penggunaan gajet secara berlebihan sehingga menyebabkan kekurangan tidur kronik turut boleh melemahkan kawalan diri, mengurangkan toleransi terhadap kekecewaan serta meningkatkan impulsiviti dan kemarahan.
“Apabila remaja memendam tekanan emosi secara berpanjangan (emotional suppression), pemikiran mereka menjadi tegar (cognitive rigidity/tunnelling).
“Apabila berlaku konflik rakan sebaya walaupun isu yang kelihatan kecil termasuk isu interpersonal ia boleh menjadi pencetus (tipping point) kepada krisis catathymic, iaitu tindakan agresif atau ekstrem yang berlaku secara mendadak akibat ledakan emosi yang terkumpul,” katanya.
Muhammad Muhsin menjelaskan bahawa dari sudut biologi dan psikologi perkembangan, tindakan ekstrem akibat konflik rakan sebaya boleh dipengaruhi ketidakseimbangan perkembangan otak remaja, selain tekanan persekitaran dan psikososial yang berat.
Katanya, bahagian otak yang mengawal emosi seperti sistem limbik dan amigdala berkembang pesat ketika usia remaja di bawah pengaruh perkembangan hormon.
Sebaliknya, bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap kawalan impuls, penilaian risiko, pertimbangan moral dan pemikiran rasional, iaitu korteks prefrontal, hanya matang sepenuhnya apabila seseorang mencapai usia sekitar 20-an.
Jurang kematangan neurobiologi itu, menurutnya, menyebabkan remaja lebih terdedah kepada risiko membuat keputusan yang dipengaruhi emosi yang belum matang.
Dalam masa sama, Muhammad Muhsin berkata, pendedahan berterusan kepada kandungan visual ganas di alam maya boleh menyumbang kepada desensitisasi emosi.
Menurutnya, keadaan itu boleh menumpulkan sensitiviti seseorang terhadap kesakitan atau akibat buruk daripada tindakan fizikal sehingga perlakuan berisiko tinggi atau keganasan tidak lagi dirasakan sebagai sesuatu yang menakutkan.
Pendedahan sedemikian juga, katanya, boleh mengurangkan rasa empati atau ihsan.
Beliau berkata, media sosial, tekanan rakan sebaya, buli dan tekanan lain tidak bertindak secara berasingan, sebaliknya boleh membentuk satu “ekosistem tekanan kronik” yang merosakkan keupayaan kawalan emosi remaja.
Buli siber, misalnya, berbeza daripada buli tradisional yang lazimnya terhenti apabila sesi persekolahan tamat kerana tekanan di alam maya boleh terus mengikuti remaja melalui gajet sehingga ke bilik tidur.
Keadaan itu, katanya, boleh meragut “ruang selamat” mereka sepanjang masa.
Muhammad Muhsin turut menjelaskan bahawa bagi seseorang remaja, rakan sebaya merupakan sumber penting dalam pembentukan identiti.
Justeru, perasaan dipinggirkan atau diaibkan di hadapan rakan sebaya boleh dirasakan sebagai ancaman besar, manakala konflik yang gagal diurus dengan baik boleh mencetuskan rasa keaiban melampau sehingga mendorong tindakan di luar kawalan.
Dalam aspek lain, Muhammad Muhsin memberi perhatian terhadap penggunaan gajet berlebihan yang mengganggu kitaran tidur remaja.
Menurutnya, kekurangan tidur secara kronik boleh menjejaskan fungsi kognitif, mengurangkan toleransi terhadap kekecewaan dan meningkatkan impulsiviti serta kemarahan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan ibu bapa menetapkan sempadan penggunaan digital, termasuk mewujudkan zon bebas gajet di bilik tidur selepas jam 10 malam bagi memastikan kualiti tidur anak terpelihara.
Penggunaan gajet bagi tujuan yang tidak bermanfaat turut dicadangkan dihadkan kepada satu hingga dua jam sehari.
Pada masa sama, ibu bapa perlu mewujudkan suasana di rumah yang membolehkan anak bercakap mengenai kegagalan, ketakutan atau konflik tanpa takut dihakimi atau dihukum secara melulu.
Muhammad Muhsin berkata, luahan tekanan emosi remaja tidak seharusnya dipandang remeh dengan respons seperti “benda kecil pun nak stres” atau melabel mereka sebagai “manja”.
Menurutnya, sikap sedemikian boleh menyebabkan remaja berhenti berkomunikasi dan mula mencari bentuk sokongan yang tidak sihat di alam maya.-The Merdeka Times
Berita selanjutnya : https://themerdekatimes.com/news/2026/10/emosi-terpendam-kurang-tidur-boleh-cetus-tindakan-ekstrim-remaja-pakar/
