corporate@um.edu.my                   

Events & Highlights

Home > News Highlights >Event Details

Gaji graduan bakal diselaras

05 Oct 2026

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir memberi bayangan bakal ada pengumuman penting berkaitan gaji graduan yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Zambry berkata, perkara itu adalah susulan daripada langkah pelarasan gaji akan dilaksanakan kerajaan yang turut mengambil kira soal gaji graduan. Bagaimanapun, Zambry tidak mendedahkan butiran lanjut termasuk bentuk atau kadar pelarasan gaji berkenaan. “Saya tak boleh sebut apa-apa, tapi biarlah yang amat berhormat Perdana Menteri sebutkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Universiti Malaya, di sini semalam. Dalam pada itu, beliau berkata, isu under employment (pekerjaan tidak selaras dengan kelayakan graduan) turut diberi perhatian kementerian ketika ini, khususnya apabila mereka memiliki ijazah tetapi peluang pekerjaan yang diperoleh tidak selaras dengan bidang pengajian. "Sebab itulah langkah-langkah berterusan dilakukan (kementerian) kerana seperti yang kita sedia maklum, setiap tahun ribuan pelajar-pelajar yang keluar, mereka memiliki (kepakaran) dalam bidang masing-masing. “Antara termasuk kita menjalankan kerjasama dengan beberapa kementerian lain. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Ekonomi dan juga Kementerian Sumber Manusia,” katanya Zambry berkata, kerjasama dengan ketiga-tiga kementerian itu berjalan lancar bagi membolehkan graduan universiti, politeknik yang telah menamatkan pengajian mendapat pekerjaaan selaras dengan kelayakan mereka. Tambah beliau, penyelarasan antara bidang pengajian, kelayakan graduan dan peluang pekerjaan perlu dilakukan secara berterusan. Langkah itu juga dilihat sebagai sebahagian usaha menangani isu ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan supaya kelayakan akademik yang dimiliki dapat dimanfaatkan dalam bidang bersesuaian. Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Zambry untuk memperkukuh laluan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan graduan. Ini kerana kata Ahmad Zahid, perkara itu perlu diberi perhati susulan data Jabatan Perangkaan Malaysia kira-kira 1.6 juta graduan atau 32.2 peratus bekerja di bawah tahap kelayakan. - KOSMO

Berita selanjutnya : https://readnow.isentia.com/Temp/215779-1404532466/MY0071418674_20271006.pdf

Last Update: Oct 07, 2026