Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (empat dari kiri) merasmikan Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, hari ini.
Kerajaan akan terus memperkukuh sambutan Hari dan Bulan Akademia sebagai acara unggul bagi dunia akademik dalam usaha menghargai sumbangan warga akademia serta memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sambutan yang diadakan pada 5 Oktober setiap tahun itu melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi termasuk universiti, politeknik dan kolej komuniti, selain institusi matrikulasi yang akan berada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai tahun depan.
Beliau berkata, sambutan berkenaan penting bagi mengiktiraf peranan warga akademia termasuk ilmuwan, sarjana, intelektual dan penyelidik dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi serta negara.
“Kerajaan akan meneruskan dan memastikan supaya Hari Akademia ini disambut dengan meriah oleh semua kalangan yang berada dalam lingkungan dunia akademia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT turut memberi perhatian terhadap usaha memudahkan urusan warga akademia, khususnya dalam mengatasi kekangan yang boleh membantutkan perkembangan dunia akademik.
Katanya, peranan akademia bukan hanya tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran, sebaliknya turut merangkumi penyelidikan serta penyampaian ilmu kepada masyarakat.
“Kalau sekiranya selama ini ada kekangan dan halangan tertentu yang membantutkan perkembangan dan pertumbuhan dunia akademik, kita perlu melihat bagaimana untuk memudahkan proses dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan akademia ini.
“Dunia akademia itu terlibat bukan hanya dari segi soal pengajaran, pembelajaran tetapi ia juga melibatkan dunia penyelidikan dan juga penyampaian ilmu,” katanya.
Menurutnya, hasil penyelidikan di institusi pendidikan tinggi perlu diterjemahkan kepada manfaat kepada masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kita nak melangkah ke satu tahap lagi iaitu menerjemahkan apa yang ada di universiti, hasil-hasil yang ada daripada universiti daripada penyelidikan itu dapat disampaikan kepada masyarakat dan dilaksanakan dan juga dalam usaha untuk membangunkan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
Baca selanjutnya : https://malaysiagazette.com/2026/10/05/hari-akademia-akan-terus-diperkasa-sebagai-acara-unggul-dunia-akademik/
