corporate@um.edu.my                   

Events & Highlights

Home > News Highlights >Event Details

KPT harap Belanjawan 2027 tumpu naik taraf kemudahan, penginapan penuntut

05 Oct 2026


Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) merasmikan Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap Belanjawan 2027 menyediakan peruntukan tambahan, khususnya aspek pembangunan dan kebajikan pelajar di institusi pendidikan tinggi seluruh negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata keperluan itu termasuk usaha menaik taraf dan membaik pulih kemudahan di universiti awam, politeknik serta kolej komuniti yang sudah berusia dan memerlukan perhatian.

"Untuk KPT, tentunya kita mengharapkan ada pertambahan bajet terutama berkaitan dengan bajet pembangunan dan juga pengurusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Zambry berkata, antara perkara yang menjadi perhatian KPT ialah aspek kebajikan pelajar, termasuk keadaan kemudahan serta tempat penginapan di institusi pendidikan tinggi.

"Sebagai contoh, kita perlu melihat dalam aspek kebajikan pelajar di universiti, politeknik dan kolej komuniti yang memerlukan langkah-langkah baik pulih.


"Ada (infrastuktur) yang sudah lama dan termasuk juga dalam soal menyediakan tempat-tempat penginapan kepada pelajar," katanya.

Justeru, beliau berharap, perkara itu difahami pihak kerajaan kerana setakat ini juga pihaknya sudah mengambil beberapa tindakan bagi menangani keperluan berkenaan.

"Ini adalah antara perkara yang menjadi perhatian kepada kita semua dan kerajaan (perlu) memahami perkara tersebut, sebab itulah langkah-langkah ke hadapan telah pun kita susun," katanya.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober ini di Dewan Rakyat. Ia adalah Belanjawan MADANI Kelima dengan matlamat untuk terus menuai hasil Kerangka Ekonomi MADANI dalam pengemudian negara Malaysia. - BERNAMA

Berita selanjutnya : https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2026/10/1657387/kpt-harap-belanjawan-2027-tumpu-naik-taraf-kemudahan-penginapan

Last Update: Oct 06, 2026