corporate@um.edu.my                   

Events & Highlights

Home > News Highlights >Event Details

Perasmian Robotik - PPUM SAMBUT ULANG TAHUN PERTAMA PEMBEDAHAN ROBOTIK, LAKAR SEJARAH SEBAGAI PERINTIS RAWATAN ROBOTIK KANSER PAYUDARA

06 May 2026

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terus melakar sejarah inovasi perubatan apabila menyambut ulang tahun pertama perkhidmatannya dan diiktiraf sebagai perintis kepada pembedahan robotik bagi perawatan kanser payudara di Malaysia.

Pencapaian bersejarah ini diraikan menerusi Majlis Sambutan PPUM Robotic Surgery Anniversary 1.0 yang bertemakan "Precision Beyond Boundaries". Majlis ini telah dirasmikan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.

Sejak perkhidmatan surgeri robotik mula beroperasi pada 2 Disember 2024, PPUM telah merekodkan pelbagai pencapaian klinikal yang amat membanggakan:

  • Kejayaan Pembedahan Robotik Kanser Payudara: Pelaksanaan pembedahan robotik pertama di Malaysia bagi rawatan kanser payudara di mana sebanyak enam (6) kes telah berjaya disempurnakan setakat ini.
  • Inovasi Latihan 5G: PPUM terus mengorak langkah ke hadapan sebagai pelopor inovasi kesihatan serantau dengan mengintegrasikan teknologi Extended Reality (XR) yang berasaskan rangkaian 5G dalam latihan perubatan.
  • Sasaran 100 Kes: PPUM kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 100 pembedahan robotik yang merangkumi pelbagai disiplin menjelang akhir bulan Mei ini.
  • Impak Positif Pesakit: Teknologi pembedahan canggih ini menghasilkan insisi yang lebih kecil, meminimumkan kesakitan, mempercepatkan kadar pemulihan, dan mengurangkan risiko jangkitan.

Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menyatakan bahawa pencapaian ini amat bertepatan dengan Teras ke-3 Pelan Strategik Universiti Malaya 2026–2030, iaitu Championing Healthcare. Inisiatif ini berjaya memperkukuh peranan PPUM sebagai pusat rujukan utama negara yang menawarkan perkhidmatan kepakaran yang berkualiti tinggi serta selari dengan perkembangan terkini dunia perubatan.

Kejayaan operasi PPUM ini juga amat selari dengan sasaran strategik Kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) 2021–2030 sekali gus memacu landskap perubatan Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang melangkaui segala batasan.

 

Last Update: Jul 16, 2026