corporate@um.edu.my                   

Events & Highlights

Home > News Highlights >Event Details

PM pantau sendiri Projek Residensi Siswa UM, syarikat tidak berkeupayaan boleh diganti

15 Oct 2026


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman ketika hadir pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya di Kolej Kediaman Ke-5. Foto NSTP

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) menjadi contoh pelaksanaan pembangunan yang cekap, bersih dan berintegriti.

Beliau berkata, projek berkenaan akan dipantau sendiri bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta menjadi contoh kepada agensi kerajaan lain

“Harganya ialah saya akan secara peribadi pantau pelaksanaannya supaya jadi contoh yang baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa UM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Anwar turut memberi peringatan tegas kepada syarikat yang terbabit supaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik, selain memastikan projek itu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

Katanya, mana-mana syarikat yang didapati tidak berupaya melaksanakan projek berkenaan boleh digantikan. Beliau turut menetapkan tiga perkara yang perlu diberi perhatian oleh syarikat terbabit, iaitu kemampuan menggalas tanggungjawab, melaksanakan projek dengan pantas dan memastikan prestasi yang baik.

“Ini projek contoh. Projek yang bertanggungjawab langsung kepada Perdana Menteri. Awak cuai, awak jaga kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, maklumat mengenai projek berkenaan, termasuk kos, kontraktor yang dilantik dan jadual pelaksanaan, akan didedahkan kepada umum bagi membolehkan orang ramai menilai pelaksanaannya.

Menurutnya, langkah itu sebahagian daripada usaha meningkatkan ketelusan projek kerajaan yang akan dilaksanakan mulai tahun depan selepas kerangka berkaitan disiapkan.

“Semua itu disenaraikan, biar mahasiswa dan rakyat boleh menilai. Itu yang kita maksudkan ketelusan,” katanya.

Projek Residensi Siswa UM yang dibangunkan dalam dua fasa itu dirancang untuk menampung sehingga 40,000 mahasiswa, dengan 10,000 tempat penginapan disediakan pada fasa pertama dan tambahan 30,000 pada fasa kedua.

Pembangunan fasa pertama di tapak seluas 10.3 ekar berhampiran Kolej Kediaman Dayasari (KK-5) itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk penyaman udara, internet berkelajuan tinggi, kafeteria, surau dan gimnasium.

Projek berkenaan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan penginapan mahasiswa, termasuk menangani masalah kenaikan kadar sewa rumah di sekitar universiti. 

Berita selanjutnya : https://www.buletintv3.my/nasional/pm-pantau-sendiri-projek-residensi-siswa-um-syarikat-tidak-berkeupayaan-boleh-diganti/

Last Update: Oct 16, 2026