Ketua Setiausaha Negara ketika memberikan Ucapan Hala Tuju Perkhidmatan Awam Pasca Belanjawan 2027
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027 perlu diterjemahkan melalui perubahan menyeluruh dalam budaya kerja perkhidmatan awam, dengan memberi keutamaan kepada kepantasan pelaksanaan, kecekapan penyampaian dan keberhasilan yang benar-benar dirasai rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Khas Pasca Pembentangan Belanjawan 2027 dan Pelancaran Aplikasi MyResQ bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi: Memperhebat Reformasi” yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), hari ini.
Menurut beliau, Belanjawan MADANI 2027 yang melibatkan keseluruhan sumber berjumlah RM461.84 bilion bukan sekadar penyataan kewangan negara, sebaliknya merupakan amanah besar untuk memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi yang lebih saksama serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berintegriti.
“Rakyat tidak menilai kerajaan semata-mata melalui jumlah peruntukan yang diumumkan. Rakyat menilai kerajaan melalui kemudahan yang dapat dinikmati, bantuan yang sampai kepada golongan sasar, urusan yang dapat diselesaikan tanpa kerenah birokrasi, projek yang disiapkan mengikut jadual serta keadilan yang dirasai ketika berurusan dengan institusi kerajaan,” tegas beliau. Sehubungan itu, KSN memaklumkan bahawa arahan telah dikeluarkan pada 12 Oktober 2026 kepada semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan supaya memulakan perancangan segera bagi memastikan inisiatif Belanjawan MADANI 2027 dapat dilaksanakan seawal tahun hadapan.
Beliau turut menggariskan lima keutamaan utama Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), merangkumi pengukuhan tatakelola dan akauntabiliti, pembangunan bakat dan budaya prestasi tinggi, pemudahan urusan rakyat, pendigitalan secara bertanggungjawab serta penyelarasan rentas kementerian berasaskan hasil.
Dalam memperkukuh reformasi tersebut, KSN menekankan kepentingan kesiapsiagaan agensi kerajaan terhadap pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027, di samping penyederhanaan prosedur birokrasi dan peluasan perkhidmatan digital yang lebih cekap serta bersepadu.
Beliau turut berkongsi pencapaian inisiatif pentadbiran tanpa kertas yang berjaya menjimatkan sebanyak 482,940 rim kertas, bersamaan penjimatan RM5.79 juta sehingga Ogos 2026, sekali gus membuktikan bahawa reformasi proses kerja mampu menghasilkan manfaat yang boleh diukur.
MyResQ: Inovasi Tempatan Perkukuh Respons Kecemasan Komuniti
Pada majlis sama, KSN turut menyempurnakan pelancaran aplikasi MyResQ untuk pelaksanaan secara menyeluruh di seluruh negara, sebagai usaha memperkukuh respons kecemasan berasaskan komuniti melalui penggunaan teknologi kesihatan digital tempatan.
Dibangunkan oleh pakar perubatan kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kerjasama sektor swasta, MyResQ menghubungkan orang awam yang terlatih dalam bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan mangsa kecemasan jantung berhampiran, selain menyediakan pemetaan lokasi peranti defibrilator luaran automatik (AED).
Melalui aplikasi ini, individu terlatih yang berdaftar sebagai Citizen Responder boleh menerima notifikasi kecemasan dalam lingkungan sekitar 500 meter dari lokasi kejadian bagi membolehkan bantuan awal diberikan sebelum ketibaan pasukan perubatan kecemasan. Aplikasi ini melengkapi perkhidmatan kecemasan 999 dan ambulans sedia ada.
Sejak diperkenalkan, MyResQ telah merekodkan lebih 9,500 pengguna berdaftar, 3,500 Citizen Responder yang disahkan dan 600 AED berdaftar, selain 503 pengaktifan sistem, termasuk 25 pengaktifan melibatkan kejadian henti jantung di luar hospital.
Inisiatif yang turut menerima sokongan dana daripada Pusat Jalinan Komuniti (UMCares), Universiti Malaya dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) ini mencerminkan potensi kerjasama antara universiti, sektor industri dan komuniti dalam menghasilkan inovasi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia ke arah HeartSafe Nation.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab yang semakin penting dalam mendukung agenda pembangunan dan reformasi negara, khususnya melalui penyelidikan, pembangunan bakat serta penghasilan inovasi yang mampu menangani cabaran sebenar masyarakat.
“Universiti tidak boleh hanya diukur melalui pencapaian akademik dan kedudukan dalam penarafan dunia, tetapi juga melalui sejauh mana ilmu, kepakaran dan penyelidikan yang dihasilkan mampu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Pembangunan MyResQ oleh pakar perubatan kecemasan PPUM merupakan antara contoh bagaimana kepakaran universiti dapat dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan negara. Inilah peranan yang ingin terus diperkukuh oleh Universiti Malaya, sebagai institusi yang bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan ilmu, tetapi turut memainkan peranan aktif dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Penganjuran sesi khas ini turut menampilkan taklimat Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican mengenai hala tuju Belanjawan MADANI 2027, dengan kehadiran, Ketua Hakim Syarie, Penguam Cara Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Pengurusan Tertinggi Universiti, Ketua Jabatan serta pegawai kerajaan.
Dalam ucapannya, KSN turut merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dan warga universiti atas penganjuran program berkenaan, selain mengucapkan tahniah atas pencapaian UM di kedudukan ke-56 dunia dalam QS World University Rankings 2027 serta kejayaan menjadi universiti pertama Malaysia memasuki kelompok 200 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings 2027.
Mengakhiri ucaptama, beliau menegaskan bahawa budaya kesegeraan atau sense of urgency perlu menjadi asas pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027 bagi memastikan setiap dasar dan peruntukan kerajaan diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.
