Universiti Malaya (UM) dengan penuh bangga mempersembahkan Malam Alumni UM 2024, sebuah acara epik yang julung kali diadakan dalam tempoh satu dekad, menyatukan lebih 2,000 alumni di bawah satu bumbung keramat di Dewan Tunku Canselor pada 17 Disember 2024 ini.
Acara gilang-gemilang ini akan diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan dan Canselor Universiti Malaya, bersama-sama dengan kehadiran YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Malam Alumni UM 2024 bukan sekadar perhimpunan, tetapi sebuah titik pertemuan jiwa dan semangat warga alumni. Majlis ini bakal menjadi pemangkin hubungan yang lebih kukuh antara alumni dan universiti, mencetuskan peluang rangkaian strategik serta kolaborasi berimpak tinggi.
Lebih daripada sekadar perayaan, acara ini juga memikul misi mulia – memupuk kesinambungan kecemerlangan UM melalui sumbangan kepada Tabung Endowmen Universiti Malaya. Dana yang dijana akan menjadi nadi kepada pembangunan infrastruktur moden, memperkayakan program akademik dan penyelidikan, serta memperkukuh reputasi UM sebagai peneraju global dalam pendidikan, inovasi, dan penyelidikan.
Untuk keterangan lanjut mengenai Malam Alumni UM 2024 layari laman web - https://alumni.um.edu.my/malam-alumni