Universiti Malaya telah menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Ir. Dr. Mohd Azlan Hussain yang merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang cemerlang dengan sejarah sumbangan dalam bidang kejuruteraan Kimia dan Kawalan Proses.
Menurut Profesor Ir. Dr. Mohd Azlan, melalui penganugerahan ini, beliau mahu meneruskan usaha dalam menangani masalah air dan memberi sumbangan kepada Universiti Malaya, Negara dan ummah sejagat melalui rekaan “Sistem Ultra Penapisan Air Mudah Alih” yang telah membekalkan air bersih ke beberapa tempat daripada sumber air mentah seperti sungai.
“Kami juga telah naik taraf alat ini kepada “Solar Powered Automatic Cleaning Mobile Ultrafiltration System” yang boleh membersihkan alat secara automatik bila perlu. Sistem ini sendiri membekalkan air bersih ke penduduk dan sekolah luar bandar di beberapa negeri termasuk Sarawak dan ciptaan ini telah dapat berbagai anugerah antarabangsa dan liputan media.
“Sistem ini telah menyumbang dalam usaha pembekalan air bersih kepada beberapa buah kampung di Kelantan, yang telah terputus bekalan air sepenuhnya semasa banjir besar pada penghujung tahun 2014. Setelah dipasang, sistem membekalkan air bersih ke pelbagai kampung dan sekolah luar bandar di Perak, Pahang, Kelantan dan Sarawak sehingga kini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas pencapaian anda dalam majlis yang bahagia ini, hasil pengorbanan dan sokongan ibu bapa serta keluarga,” katanya.
Penganugerahan tersebut telah disampaikan oleh Pro-Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ramli Ngah Talib di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-63. Profesor Ir. Dr. Mohd Azlan Hussain memainkan peranan yang penting dalam penubuhan Centre for Power Electronics, Drives, Automation, and Control (UMPEDAC) di Fakulti Kejuruteraan, merintis gabungan pelbagai disiplin kejuruteraan di bawah satu bumbung.
Beliau membangunkan alat novel “Ultrafiltration with Automated Cleaning System” yang menerima pelbagai liputan media di samping menerima beberapa anugerah berprestij di peringkat antarabangsa termasuk Institution of Chemical Engineers (IChemE) UK, Global Water Award & Industry Project Award dan Mohammed Bin Rashid Al-Maktoum Global Water Award dari UAE.
Profesor Ir. Dr. Mohd Azlan Hussain juga tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists dari Stanford University, Marquis Who’s Who, USA & Who’s Who dalam 21st Century, IBC, UK. Beliau turut dianugerahkan Top Research Scientist Award pada tahun 2017 dan Felo Akademi Sains Malaysia pada 2021. Beliau juga menerima anugerah pencapaian cemerlang dalam bidang kejuruteraan dari Institution of Engineer Malaysia (IEM) pada 2022.