corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM - Eizuandie Mohd. Azmi

People@UM - Eizuandie Mohd. Azmi

"Diam tak diam, sudah 27 tahun rupanya saya berkhidmat di universiti tertua negara ini," kata Encik Eizuandie Mohd. Azmi, 47, Pembantu Operasi N11 yang segak bertanjak ketika ditemui baru-baru ini.

Sebahagian besar tempoh perkhidmatannya dihabiskan di Muzium Seni Asia dan Galeri Seni Universiti Malaya, di mana anak jati Teluk Intan (Teluk Anson ketika itu) ini telah mengharungi pelbagai pengalaman yang menarik. 

"Walaupun saya sekeluarga telah didedahkan dengan aktiviti seni dari awal oleh arwah ayah dan adik, terutamanya silat, batik, dan gamelan; namun semasa di UM-lah saya berpeluang mendalami kesemua cabang seni ini, di samping mencuba pelbagai aktiviti lain di kampus," kata ayah penyayang kepada empat cahaya mata ini.

Selain aktif di dalam Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia, Eizuandie, atau Wandi di kalangan rakannya, juga diberi peluang mengajar pelajar antarabangsa asas mencanting dan mewarna batik, dan asas bermain gamelan. 

"Paling tidak dapat dilupakan ialah apabila saya diminta untuk mengajar 5 orang pelajar Korea memainkan dua lagu tradisional menggunakan gamelan dalam masa seminggu!" katanya mengimbau kenangan. Lagu-lagu yang dimaksudkan, 'Lenggang Kangkung' dan 'Wau Bulan' juga merupakan lagu yang sama dipersembahkan Ezuandie dan pasukan gamelan UM semasa menyambut ketibaan Raja Perempuan Thailand di Fakulti Undang-undang UM pada 2012.

Selain bidang seni, yang turut mencakupi minat di dalam nyanyian dan pengacaraan, Eizuandie juga berbakat bermain bolasepak, futsal, dan terkini, footgolf. Bakatnya pernah diiktiraf oleh Pusat Sukan dan Sains Eksesais UM sebagai Jurulatih Terbaik Futsal pada tahun 2009.

Harapannya hanya satu, iaitu terus diberi peluang untuk sama-sama berusaha mengharumkan nama UM dalam bidang seni tradisional. "Keunikan seni Melayu memang tiada tolok bandingnya, dan menjadi tugas kita untuk menonjolkannya kepada dunia. Pokok pangkalnya, terapkan adab dan adat kepada generasi muda, nescaya budaya kita inilah yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa kita di masa hadapan nanti."

"Marilah kita fokus untuk memperbaiki diri sendiri dan sentiasa buat yang terbaik tanpa mengharapkan balasan, kerana dengan cara itu sajalah kita bukan hanya #ServingTheNation, tetapi juga #ImpactingTheWorld," kata Eizuandie mengakhiri temubual. 

Kepada anda yang ingin mempelajari buah kilas hadapan dan belakang Silat Cekak dengan lebih dekat, atau mungkin ingin memilih kasut terbaik untuk bermain futsal, bolehlah menghubungi sosok ini yang baru sahaja memulakan tugas di Fakulti Seni Kreatif di oned@um.edu.my. 

Photos by Mohd. Fazli Zainordin for CCO
#UniversitiMalaya
#ServingTheNation
#ImpactingTheWorld

Last Update: Jul 15, 2022