corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM : Firdaus Hariri

People@UM : Firdaus Hariri

“Kejayaan boleh dicapai apabila seseorang dapat memahami erti ‘tanggungjawab’ dalam fasa-fasa pengalaman dan perjalanan mengejar cita-cita,” kata Profesor Madya Dr. Firdaus Hariri yang kini merupakan Timbalan Dekan Pembangunan, Fakulti Pergigian @unimalaya

Individu istimewa dengan pelbagai bakat ini merupakan pemain gitar, pelayar, penulis buku, pengasas barangan produk kulit @fid.harry, pensyarah, penyelidik, doktor gigi dan pakar bedah maksilofasial.

Dr. Firdaus merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur, memperoleh 2 ijazah sarjana muda daripada Universiti Malaya; sarjana muda pembedahan pergigian (BDS) serta sarjana muda perubatan dan pembedahan (MBBS).

Beliau juga menerima latihan sarjana kepakaran pembedahan maksilofasial daripada The University of Hong Kong (MDS OMFS) dengan kepujian serta mempunyai ijazah sarjana dalam bidang Perubatan Molekular (MSc in Molecular Medicine) daripada International Medical University (IMU)

Dr. Firdaus kini bertugas sebagai seorang Pakar Pembedahan Maksilofasial dengan pengkhususan dalam bidang kraniofasial kanak-kanak.  

“Rahsia kejayaan ialah melalui usaha gigih dan mengubah sikap selepas melalui pengalaman pahit dan kegagalan pada usia remaja. Selain daripada ahli keluarga saya, kekuatan dan semangat pesakit kanak-kanak dan ibu bapa mereka sentiasa menjadi sumber inspirasi dalam setiap aspek kehidupan saya.

“Daripada sudut aktiviti lain yang dilakukan, saya sukakan cabaran dalam hidup dan motivasi saya untuk melakukan perkara-perkara ini ialah kerana saya suka mempelajari ilmu-ilmu baru. Jadi, saya mahu lakukan pelbagai perkara yang bermanfaat kepada diri dan orang lain selagi saya mempunyai kudrat, inshaAllah. Selain menulis buku, sukan pelayaran dan bermain muzik, saya juga boleh menjahit dan aktif dalam penghasilan produk kraf serta barangan kulit,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Dr Firdaus berkata beliau mahu terus menyumbang dan memberi semula kepada masyarakat sebanyak yang boleh. Salah satunya ialah pengukuhan bidang kepakaran kraniofasial kanak-kanak di Malaysia melalui platform latihan klinikal, perkhidmatan kepada masyarakat, penyelidikan dan perkembangan teknologi yang boleh dimanfaatkan dalam bidang ini.

“Selain itu, melalui pengalaman saya dalam bidang penghasilan produk kraf dan barangan kulit, saya berharap dapat terus menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti-aktiviti keusahawanan sosial yang kini sedang giat dijalankan bersama-sama pihak UMCARES dan UMCIE.

“Saya juga ingin terus bermain muzik dan mungkin juga belayar mengelilingi dunia, inshaAllah.”

Gambar dari koleksi Firdaus Hariri

Last Update: Aug 03, 2022