corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM Nor Sharina Nordin

People@UM Nor Sharina Nordin

“Kita perlu ada minat dan sentiasa bersabar dalam kerja-kerja memelihara buku, jika kita ingin dapatkan hasil yang sempurna,” kata Nor Sharina Nordin, penyelia di Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan, Perpustakaan Universiti Malaya ketika ditanya mengenai tugas pasukannya yang unik baru-baru ini.

Menurut Nor Sharina yang sudah berkhidmat selama 14 tahun di UM ini, Unit khusus ini telah ditubuhkan sejak 1960an lagi. "Tujuannya adalah untuk memelihara dan memulihara semua bahan bercetak di perpustakaan. Kamilah yang bertanggungjawab menjilid buku-buku yang diperlukan, memperbaiki jilid buku, dan menggantikan kulit buku yang rosak," katanya sambil tersenyum.

Nor Sharina dan 6 orang Pembantu Pemuliharaan yang lain memperbaiki hampir 5,000 buah buku setiap tahun. "Benar, walaupun kini pengguna lebih menggemari bahan berbentuk digital; namun saya percaya buku berbentuk fizikal masih relevan, dan turut mempunyai nilai sentimental kepada ramai orang.

Setiap buku yang diperbaiki dan diganti kulitnya mampu digunakan selama 5 tahun, bergantung kepada permintaan dan cara penggunaan buku tersebut," katanya sambil menunjukkan buku-buku yang tersusun untuk diperbaiki di hadapannya.

Selain pengalaman semasa bekerja, kemahiran staf unit ini diperolehi daripada siri kursus dan latihan yang diberikan oleh pihak Arkib Negara Malaysia. "Saya amat teruja apabila diberi peluang mempelajari proses pengawetan manuskrip lama, terutamanya yang diperolehi dari awal kurun ke-19," terang wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Selain manuskrip lama, Unit ini juga bertanggungjawab untuk menjahit dan membukukan dokumen-dokumen penting seperti warta kerajaan dan akta, yang mempunyai permintaan tinggi di kalangan pengguna.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai skop tugas pasukan Pembantu Pemuliharaan yang sangat menarik ini, hubungi Nor Sharina di ayu_sharina@um.edu.my untuk temujanji.

Sebaik-baiknya bersama sepinggan roti canai garing dan secawan teh tarik, ya?
 


Photos by Mohd. Haizal Ismail / CCO
#ServingTheNation
#ImpactingTheWorld
#WithYouItsPossible

Last Update: Jul 29, 2022