corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UM EDAR 5,555 BUNGKUS BUBUR LAMBUK KEPADA WARGA KAMPUS DAN ORANG AWAM

Universiti Malaya edar 5,555 bungkus bubur lambuk sempena penganjuran Bubur Lambuk Perdana dan Iftar Perdana Universiti Malaya tahun 2023 kepada warga kampus yang terdiri daripada staf, pelajar dan juga orang awam, hari ini. 

Menurut Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, beliau berharap penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara warga kampus dan juga dapat memberi sumbangan kepada yang memerlukan dari edaran bubur lambuk ini. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada lebih 100 orang sukarelawan yang terlibat hari ini atas sumbangan tenaga dan berharap dapat sama-sama memanfaatkan cara dan teknik memasak bubur lambuk ini untuk kita terus adakan program seperti ini setiap tahun di Universiti Malaya. 

Encik Irwan Saufi Alias, Pengarah Program Bubur Lambuk Perdana Universiti Malaya berkata program hari ini dijayakan bersama gabungan 3 persatuan di Universiti Malaya iaitu Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PEKERTI), Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya (KKAUM) dan Kesatuan Mahasiswa UM dalam menyediakan bahan mentah, memasak  dan mengedarkan bubur lambuk. 

Pengagihan bubur lambuk ini dijalankan secara drive thru di pintu masuk Universiti dan juga kepada warga kampus. Program Bubur Lambuk Perdana dan Iftar Perdana UM ini adalah pertama kali diadakan secara besar-besaran dimana ianya merupakan salah satu program Road To Convo UM 2023. 

Last Update: Jan 02, 2024