Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju program mobiliti inklusif apabila berjaya melaksanakan Program Mobiliti UM INCLUDE (International & Inclusive Learning for Diverse Excellence) Siri II yang telah berlangsung di King Mongkut's University of Technology Thonburi (KMUTT), Thailand, pada 11 hingga 15 Ogos 2026.
Program ini merupakan inisiatif strategik UM yang bertujuan memastikan mahasiswa dari kategori orang kurang upaya (OKU) mendapat akses setara kepada pengalaman pembelajaran antarabangsa. Dengan menyediakan peluang mobiliti global kepada mahasiswa OKU, Universiti Malaya terus menerajui usaha memperkasa pengantarabangsaan yang inklusif serta menyumbang kepada pembangunan landskap pendidikan tinggi yang lebih saksama.
Pada 23 April 2026, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah meluangkan masa menyantuni 12 orang mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dari Universiti Malaya yang menyertai Program Mobiliti UM INCLUDE 2026 Siri I, sekali gus menzahirkan sokongan padu kerajaan MADANI dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi inklusif negara.
Sebagai tanda komitmen berterusan terhadap kebajikan dan pembangunan pelajar OKU, beliau turut bersetuju untuk menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi menyokong pelaksanaan program ini. Sumbangan ini akan turut disalurkan untuk program UM INCLUDE Siri II dan Siri III.
Peranan UM di peringkat nasional turut terserlah apabila universiti ini memanjangkan jemputan kepada dua universiti awam lain, iaitu UKM dan UPM, untuk bersama-sama menyertai Siri II. Langkah ini mencerminkan komitmen UM dalam memperkasa pendidikan inklusif bukan sahaja di peringkat universiti, tetapi juga sebagai agenda kebangsaan.
Selepas kejayaan Siri I di Indonesia yang disertai oleh 12 mahasiswa OKU Universiti Malaya kategori penglihatan, Siri II memperluaskan penyertaan kepada pelajar dengan ketidakupayaan fizikal (saraf, scoliosis dan lain-lain), pendengaran serta pembelajaran (ADHD dan Asperger).
Siri II menyaksikan seramai 14 pelajar OKU dari UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai program lima hari ini. Mereka mengikuti pelbagai aktiviti akademik, pertukaran budaya dan bengkel interaktif yang dianjurkan oleh KMUTT, sekali gus membina kompetensi global dalam suasana pembelajaran yang inklusif.
Selain manfaat akademik, program ini turut meningkatkan keyakinan diri, memupuk sifat berdikari dan membuka perspektif baharu kepada peserta. Penglibatan rakan pembimbing (student buddies) serta pegawai pengiring membuktikan pentingnya ekosistem sokongan dalam menjayakan mobiliti inklusif.
Seorang peserta Siri II, Hidayah, pelajar Sarjana Muda Kaunseling UM, menyifatkan peluang ini sebagai pengalaman yang amat bermakna:
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi kesempatan merasai pengalaman yang sukar dilupakan. Bagi saya sebagai mahasiswa OKU, peluang ini bukan sekadar perjalanan tetapi sebuah keberanian dan impian yang menjadi kenyataan. Program UM INCLUDE mengajar kami bahawa dunia ini juga mempunyai ruang untuk kami, dan keyakinan baharu ini adalah hadiah paling bermakna yang akan dikenang sepanjang hayat.”
Program INCLUDE akan diteruskan dengan Siri III pada 22 hingga 26 September 2026 di Mahidol University Thailand, yang dijangka melibatkan 20 pelajar OKU. Siri ini akan turut disertai oleh mahasiswa dari UM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), sekali gus memperluaskan jaringan kerjasama antara universiti awam dalam memperkasa mobiliti inklusif.
Profesor Dr. Hasniza Zaman Huri, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UM memaklumkan bahawa Program UM INCLUDE selaras dengan aspirasi universiti untuk memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, berpeluang menikmati pendidikan antarabangsa. “UM komited memperluaskan kerjasama strategik dengan universiti di seluruh dunia bagi membuka lebih banyak ruang kepada pelajar OKU untuk mengembangkan potensi diri para mahasiswa untuk bersaing di peringkat global,” katanya.
Dengan kejayaan dua siri yang telah dilaksanakan dan rancangan untuk Siri III, UM sekali lagi membuktikan bahawa pendidikan berkualiti tidak mengenal sempadan, dan peluang tanpa ragu adalah hak semua.
