corporate@um.edu.my                   

UM PERKUKUH KUALITI INSTITUSI: UMQEI DITENTUSAHKAN OLEH SIRIM


Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh pengurusan kualiti institusi menerusi Universiti Malaya Quality Excellence Index (UMQEI), instrumen yang dibangunkan sendiri oleh Universiti Malaya bagi menilai, memantau dan meningkatkan tahap pengurusan kualiti secara sistematik di seluruh Universiti.

UMQEI telah melalui proses penentusahan oleh SIRIM QAS International pada 19 hingga 21 Ogos 2026, meliputi keberkesanan kaedah penilaian, pengendalian dan pengukuran proses teras, penambahbaikan berterusan, kawalan dokumentasi dan rekod serta jaminan kualiti akademik.

Penentusahan tersebut mengesahkan bahawa UMQEI, yang dibangunkan dan diselaraskan oleh Jabatan Pengurusan dan Penambahbaikan Kualiti (QMED) berdasarkan konteks dan keperluan UM, telah dilaksanakan secara sistematik serta sesuai digunakan sebagai alat untuk mengukur Indeks Kecemerlangan Kualiti Universiti Malaya.

Pembangunan UMQEI meneruskan perjalanan panjang pengurusan kualiti UM yang sebelum ini berteraskan pensijilan ISO 9001 selama lebih dua dekad, dari 2002 hingga 2023. Peralihan kepada UMQEI menandakan evolusi kepada pendekatan pengurusan kualiti yang dibangunkan khusus berdasarkan keperluan dan aspirasi UM. Inovasi ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada tahun 2026 yang mengesahkan UM sebagai universiti pertama di Malaysia yang melaksanakan penilaian kualiti pengurusan berasaskan indeks komprehensif, dan kini melalui penentusahan bebas oleh SIRIM.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaya, Profesor Dr. Hasniza Zaman Huri, UMQEI membolehkan Universiti mengenal pasti kekuatan, jurang dan ruang penambahbaikan pada peringkat Pusat Tanggungjawab (PTj). Dapatan penilaian seterusnya diterjemahkan kepada tindakan yang mempunyai tanggungjawab, tempoh pelaksanaan dan hasil yang jelas, membolehkan penambahbaikan dilaksanakan dan dipantau secara sistematik.

“Pendekatan ini mencerminkan keupayaan UM untuk mengurus dan mengawal kualiti institusi melalui mekanisme yang dibangunkan sendiri, dengan penelitian bebas oleh SIRIM sebagai badan luar. Ia turut memperlihatkan bahawa autonomi institusi dapat dilaksanakan seiring dengan akauntabiliti dan jaminan kualiti yang kukuh, tanpa mengabaikan keperluan untuk memastikan standard dan kecemerlangan Universiti terus terpelihara,” kata Profesor Hasniza. 

UM terus memperkukuh pendekatan ini melalui Universiti Malaya Quality Excellence Framework (UMQEF) dan pemurnian UMQEI 2.0 bagi memastikan sistem pengurusan kualiti Universiti kekal relevan, responsif dan semakin berorientasikan hasil serta impak.

Penentusahan UMQEI oleh SIRIM, yang pertama di Malaysia bagi instrumen kualiti yang dibangunkan sendiri oleh institusi pendidikan tinggi negara merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan UM membudayakan kualiti sebagai sebahagian daripada pengurusan institusi dan memacu kecemerlangan secara berterusan.

Kualiti di UM bukan sekadar diukur, tetapi diurus, dipantau dan terus diperkasa.

Last Update: Aug 26, 2026