corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UNIVERSITI MALAYA BEKERJASAMA DENGAN PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN) UNTUK MELAHIRKAN GRADUAN YANG BERPENGETAHUAN DAN BERKUALITI

 Universiti Malaya (UM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk membudayakan penabungan simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dalam kalangan pelajar selain menambahkan lagi kefahaman dan kesedaran pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan memperkasakan pembangunan penyelidikan serta pendidikan tinggi untuk melahirkan graduan yang berkualiti. 

Majlis menandatangani MoU telah diadakan bertempat di Bangunan Canseleri, UM. MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Simpan SSPN merupakan instrumen simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN bertujuan untuk perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan. Hasrat PTPTN adalah untuk membantu pelajar agar tidak terbeban dengan hutang tetapi turut mempunyai perancangan kewangan yang baik demi masa depan pendidikan. Secara tidak langsung, melalui perancangan kewangan, graduan tidak terlalu bergantung kepada pinjaman semata-mata sebaliknya menggunakan simpanan untuk menampung kos pengajian mereka. 

Selain itu, PTPTN juga bercadang untuk berkongsi mengenai kepentingan membayar balik pinjaman PTPTN serta perancangan kewangan kepada para pelajar terutamanya pelajar tahun akhir bagi membantu mereka supaya lebih bijak membahagikan wang antara membayar balik pinjaman dan perbelanjaan kehidupan.

Melalui MoU yang ditandatangani, PTPTN dan UM bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop antaranya:

  1. Meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan yang berkualiti agar berupaya memenuhi keperluan industri; 
  2. Pembudayaan penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi seluruh warga UM melalui pelbagai program; 
  3. Penyelidikan dan pembangunan agar idea-idea baru dapat ditingkatkan berkaitan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan; 
  4. Jaringan program kerjasama dengan alumni UM;
  5. Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kakitangan UM dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime; 
  6. Penyampaian informasi/ promosi PTPTN menerusi billboard di premis UM; dan
  7. Menjalinkan jaringan kerjasama di dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui tanggungjawab sosial korporat antara PTPTN dan UM.

Diharap dengan kerjasama dan usahasama ini dapat memberikan impak kepada usaha-usaha PTPTN dan UM dalam memastikan para pelajar lebih cakna dan berpengetahuan mengenai Simpan SSPN di samping dapat membuka banyak peluang dan juga faedah kepada kedua-dua belah pihak. 

Sehingga 28 Februari 2023, PTPTN telah membantu seramai 88,409 pelajar yang mengikuti pengajian di UM dalam pelbagai bidang melalui pemberian pinjaman pendidikan sekali gus memberi peluang kejayaan kepada mereka.

Last Update: May 24, 2023