corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UNIVERSITI MALAYA MERAIKAN 8,326 GRADUAN DALAM ISTIADAT KONVOKESYEN KE-63

Universiti Malaya pada tahun ini meraikan 8,326 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-63 dalam 15 sidang bermula 25 November hingga 2 Disember 2023.

Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-63 diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam ucapan khasnya berkata konvokesyen tahun ini mengangkat tema “Pemerkasaan IImu, Tonggak Ilmuwan Budiman”. Pemerkasaan ilmu ini dapat dicapai melalui penyelidikan yang berkualiti. Di sinilah pentingnya peranan pelajar dan staf yang telah berusaha dengan gigih dan penuh kecekalan dalam bidang penyelidikan. Usaha terbabit merupakan satu manifestasi ilmuwan budiman yang dapat kita lihat dalam beberapa pencapaian mutakhir.

 

“Universiti Malaya telah merekodkan pencapaian 500 graduan Kedoktoran dalam pelbagai bidang penyelidikan dan menghasilkan 85 graduan Kedoktoran Graduate on Time atau G.o.T yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-63 kali ini. Ini merupakan pencapaian tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh 7 tahun kebelakangan ini,” katanya.

Dalam Istiadat kali ini, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji. Mohd Ali Mohd Rustam dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Sejarah dan Arkeologi dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Undang-Undang Syariah dari Akademi Pengajian Islam.

Istiadat Konvokesyen Ke-63 kali ini juga menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat kepada Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sulaiman Mahbob yang sangat dikenali dalam perkhidmatan awam serta memegang beberapa peranan penting dalam sektor korporat dan juga penganugerahan Ijazah Kehormat kepada Profesor Tan Eng Chye yang merupakan Presiden di the National University of Singapore (NUS). Seramai 9 orang profesor dari Universiti Malaya juga dikurniakan gelaran Profesor Emeritus dan pengurniaan Anugerah Pelajaran DiRaja kepada dua orang penerima.

Istiadat kali ini akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 8,326 graduan. Daripada jumlah tersebut, seramai 500 graduan Ijazah Kedoktoran, 2,642 graduan Ijazah Sarjana termasuk Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 4,186 graduan Ijazah Sarjana Muda, dan 998 graduan Diploma Lanjutan, Diploma Eksekutif dan Diploma.

Lihat gambar selebihnya di Facebook Universiti Malaya.

Last Update: Nov 26, 2023