corporate@um.edu.my                   

UNIVERSITI MALAYA PERKASA BUDAYA ILMU MELALUI PELANCARAN PROGRAM TELAAH@UM

Universiti Malaya (UM) melalui Perpustakaan Universiti Malaya telah melancarkan Program Telaah@UM, sebuah inisiatif intelektual baharu yang dirangka bagi memperkukuh budaya ilmu, pemikiran kritikal dan wacana akademik dalam kalangan warga universiti serta masyarakat umum.

Majlis pelancaran program ini telah berlangsung di Perpustakaan Peringatan Za’ba, Universiti Malaya, dan menandakan permulaan kepada siri program ilmiah berterusan yang memfokuskan perbincangan karya ilmiah, isu pendidikan tinggi serta peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan masyarakat berpengetahuan.

Program sulung Telaah@UM mengetengahkan sesi telaah buku bertajuk “Riwayat Ungku Aziz” dan “Royal Professor Ungku A. Aziz: The Renaissance Man”, yang mengupas pemikiran, kepimpinan dan sumbangan signifikan Allahyarham Royal Professor Ungku A. Aziz terhadap pembangunan intelektual dan sosioekonomi negara.

Sesi ini telah disampaikan oleh Profesor Dr. Zamri A. Rahman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, yang menekankan kepentingan penghayatan karya ilmiah sebagai asas pembentukan masyarakat akademik yang berfikir secara kritis, analitikal dan beretika.

Program Telaah@UM dirangka sebagai platform wacana ilmiah yang bersifat inklusif dan dinamik, sejajar dengan aspirasi Universiti Malaya untuk memperkukuh peranan institusi sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan rujukan intelektual di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antara objektif utama pelaksanaan Program Telaah@UM ialah memperkenalkan pendekatan pembacaan kritikal dalam kalangan warga universiti, menggalakkan penglibatan aktif pelajar dan staf dalam aktiviti intelektual, serta memperkasa imej Universiti Malaya sebagai peneraju budaya ilmu.

Majlis pelancaran turut merangkumi sesi perbincangan dan soal jawab, pelancaran rasmi Program Telaah@UM, aktiviti walkabout koleksi Pak Ungku Aziz serta jamuan penutup.

Universiti Malaya komited untuk meneruskan pelaksanaan Program Telaah@UM sebagai sebahagian daripada usaha strategik universiti dalam memupuk budaya membaca, dialog intelektual dan pemikiran reflektif demi pembangunan masyarakat berilmu dan berdaya saing.

Last Update: Jan 28, 2026