corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

WARGA UM MULA PROSES TANDATANGAN OPSYEN SSPA, SAMBUT BAIK INISIATIF KERAJAAN


Universiti Malaya telah menganjurkan Majlis Menandatangani Opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Pengurusan Tertinggi dan Wakil Kesatuan/Persatuan Universiti Malaya sebagai simbolik Universiti Malaya memulakan proses tandatangan Opsyen SSPA, hari ini. 

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, Universiti Malaya menyambut baik inisiatif kerajaan dan Universiti Malaya menyatakan tanda sokongan yang tidak berbelah bagi kepada aspirasi kerajaan dalam memperkenalkan SSPA ini, yang dilihat sebagai satu langkah strategik untuk menambah baik sistem perkhidmatan awam. 

“Dengan perubahan ini, Universiti Malaya berpendapat bahawa ia akan dapat memacu perkembangan pendidikan tinggi ke arah yang lebih baik, di samping memastikan taraf hidup kakitangan terus terpelihara.

“Universiti Malaya percaya bahawa pelaksanaan SSPA akan membuka ruang bagi kakitangan universiti untuk lebih inovatif dan efisien dalam perkhidmatan mereka. Ini adalah langkah ke hadapan dalam usaha kita mencapai kecemerlangan pendidikan tinggi, di mana kakitangan adalah aset terpenting universiti,” katanya.

Menurut Pemangku Pendaftar, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman berkata, universiti akan memastikan bahawa proses peralihan ke opsyen baharu ini berjalan lancar bagi semua kakitangan yang terlibat.

Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya, Mazmir Mohd Amin yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata majlis yang dianjurkan oleh pihak universiti ini menunjukkan kesepakatan dan kebersamaan warga kerja Universiti Malaya dalam penerimaan opsyen SSPA ini. 

 “Kami juga jelas dengan sesi roadshow yang telah dijalankan oleh Jabatan Sumber Manusia bahawa faedah daripada skim saraan baru ini tidak akan berkurang, malahan pelarasan gaji akan memberi kelegaan kepada staf universiti. 

“Mewakili kesatuan staf Universiti Malaya, kami bersetuju dan menerima pakai sistem saraan baru ini dan percaya dengan hala tuju dan proses penambahbaikan penjawat awam dari semasa ke semasa,” katanya. 

Last Update: Oct 21, 2024