corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

5,000 PELAJAR BAHARU UNIVERSITI SELESAI ORIENTASI DAN TERUJA MEMULAKAN PENGAJIAN

5,000 PELAJAR BAHARU UNIVERSITI SELESAI ORIENTASI DAN TERUJA MEMULAKAN PENGAJIAN

Minggu Haluansiswa Sesi 2022/2023 atau Universiti Malaya Week of Welcome (UM-WOW) telah selesai diadakan selama seminggu bagi menyambut 5,000 pelajar baru ke Universiti Malaya.

Antara program yang diadakan sepanjang Minggu Haluansiswa ialah Majlis Perasmian oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Upacara Lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar Baharu, Sesi bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik, Sesi bersama Pemudahcara Mahasiswa, Pengurusan Kolej Kediaman, Program Pengenalan Asas Kesedaran Mengundi kepada Pelajar Baharu oleh Institusi Pendidikan Tinggi dan banyak lagi aktiviti-aktiviti pelajar yang dijalankan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Sabri Musa pada Majlis Penutup Universiti Malaya Week of Welcome (UM-WOW) 2022/2023 berkata beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama para pelajar baharu bagi menjayakan Minggu Haluansiswa ini.

“Saya berharap Minggu Haluansiswa yang diadakan ini dapat mempersiapkan pelajar-pelajar untuk kehidupan di kampus dan juga merupakan proses suai kenal sebagai pelajar Universiti Malaya. Ianya juga merupakan proses perkenalan pelajar bersama Pengurusan Universiti Malaya di mana terdapat beberapa sesi bersama Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor,” katanya.

Menurut Dr. Iskandar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Universiti Malaya Week of Welcome (UM-WOW) 2022/2023, lebih 350 orang staf Universiti Malaya terlibat secara langsung bagi menjayakan Minggu Haluansiswa pada kali ini.

“Pendaftaran kolej yang diadakan selama 2 hari telah selesai dengan jayanya di mana seramai 1,800 pelajar mula mendaftar pada hari sabtu dan lebih 3,000 pelajar mendaftar pada hari ahad.

“Minggu Haluansiswa merupakan minggu yang paling tidak dapat dilupakan oleh pelajar-pelajar Universiti Malaya dan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, saya memastikan program-program yang diadakan dapat memberi manfaat untuk persediaan menempuh kehidupan di kampus,” katanya lagi.

Menurut Ketua Pemudahcara Mahasiswa Sentral 2022/2023, Muhammad Noor Akmal, seramai 42 orang Pemudahcara Mahasiswa Sental telah terlibat pada Minggu Haluansiswa pada tahun ini.

“Tugas utama Pemudahcara Mahasiswa Sentral adalah sebagai penghubung diantara Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan juga para mahasiswa dan mahasiswi. Tugas utama kami adalah mengkoordinasi dan menyelaras diantara semua kolej-kolej kediaman dan menyampaikan informasi dan arahan berkaitan UM-WOW.

“Pesanan saya untuk adik-adik freshie untuk sentiasa bersedia mental dan fizikal bagi sesi pembelajaran sepenuhnya secara fizikal dan sentiasa menjaga adab dan sahsiah sebagai asas kepada kejayaan,” katanya.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang Profesor dan ahli akademik dalam bidang fizik di Universiti Malaya,” kata Bryan Lim, pelajar cemerlang STPM dari Sarawak.

Menurut beliau, beliau memilih Universiti Malaya kerana mempunyai tawaran dalam bidang fizik yang diminati.

“Saya ingin melanjutnya pelajaran seterusnya dalam bidang Master dan juga seterusnya dalam PHD dalam bidang sama,” itu antara perancangan Bryan ketika ditemu bual di Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa Sesi 2022/2023.

Abel Ross Misek Yakim, Pelajar Fakulti Sukan & Sains Eksesais, berkata sepanjang beliau berada di Universiti Malaya, keadaan di Universiti Malaya sangat memuaskan dan memenuhi citarasa beliau.

“Saya ke sini untuk merasai sendiri untuk menjadi pelajar Universiti Malaya. Universiti Malaya merupakan Universiti terbaik di Malaysia dan sejak saya ke sini saya percaya memang Universiti Malaya merupakan Universiti terbaik.

Apabila bertanya mengenai perancangan masa hadapan, Abel merancang untuk menjadi pengurus sukan dan pakar dalam sport prevention.

Menurut Nur Arina Najwa Azman, Pelajar Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, beliau menghadiri kelas pada pada hari pertama minggu ini dengan berjalan kaki dan beliau tahu selok belok dan short cut di Universiti Malaya semasa Minggu Haluansiswa diadakan.

Majis penutup turut diserikan dengan persembahan dari kumpulan The Mash yang membawakan lagu 'Mata Dunia' yang juga diangkat sebagai lagu tema UM-WOW 2022/2023.

Gambar oleh Mohd Fadhli & Latimin/CCO

Last Update: Oct 21, 2022