Jika disebut nama Oluwashola Yaya Olukosi, mungkin tiada yang mengenalinya (atau tahu menyebutnya dengan betul!).
Namun pemilik nama ini tidak lain tidak bukan adalah ‘Brother’ Yaya si penjual nasi lemak di Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya.
“Saya dilahirkan di Lagos, Nigeria dan sudah berada di Malaysia sejak 2010. Sudah lebih 8 tahun saya bekerja dengan Nasi Lemak Tanglin,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.
Beliau bangun seawal jam 4 pagi untuk mengambil nasi lemak dan lauk-pauk dari cawangan utama Nasi Lemak Tanglin di Kompleks Makan Tanglin, Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur, dan memulakan perniagaan di UM tepat pada jam 7.00 pagi. Kemas berkemeja putih dan berseluar hitam setiap hari, lelaki berusia 38 tahun ini tekun melayan permintaan dan kerenah pelanggan di kiosknya.
Menelaah profil Facebook-nya mungkin ramai yang menganggap Yaya sangat meminati sukan bolasepak. Banyak gambar yang menunjukkannya bersama rakan-rakan sama ada di padang bolasepak atau futsal di sekitar Kuala Lumpur.
Namun tahukah anda, Yaya sebenarnya mempunyai pelbagai sijil dan diploma kejurulatihan bolasepak, termasuklah UEFA B Licence? Menurut UEFA, badan tertinggi bola sepak Eropah, kelayakan ini sebenarnya membolehkan Yaya menjadi ketua jurulatih bagi kelab amatur dan pasukan belia bawah 16 tahun, dan penolong jurulatih untuk kelab profesional.
“Saya pernah jadi jurulatih untuk pasukan bawah 12 dan 13 tahun di Wolverhampton Wanderers, semasa berada di United Kingdom dahulu,” kongsi Yaya lagi mengenai perjalanan hidupnya. Beliau berada di UK kerana melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah tinggi dan kemudiannya di Salford City College, Manchester dalam bidang kejurulatihan bolasepak.
Setelah mendapati peluang peluang pekerjaan yang terhad sekembalinya ke Nigeria, Yaya nekad untuk mencari nafkah di luar negara. Teringat akan nasihat tutornya ketika di UK untuk meneroka peluang kejurulatihan di Asia Tenggara, beliau terus melakukan carian internet untuk negara yang sesuai. “Tiba masa untuk mengumpul maklumat mengenai Malaysia, saya terus jatuh cinta dengan dua gambar ini: Kuil Batu Caves dan Menara Berkembar Petronas. Tanpa membuang masa, saya buat keputusan untuk berhijrah ke sini,” katanya yang menetap di Batu Caves sehingga sekarang.
Jika cinta pandang pertamanya adalah kepada dua lokasi ikonik ini, cinta keduanya adalah terhadap makanan Malaysia yang enak dan pelbagai. “Sebagai seorang Muslim, saya rasa seperti berada di syurga makanan! Walaupun bukan makanan Melayu, saya tetap boleh menikmati pelbagai jenis makanan, baik makanan Cina, India, dan dari seluruh pelosok dunia, kerana pasti terdapat versi yang halal di sini,” kata Yaya sambil menggosok perutnya.
Dan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Nasi Lemak Tanglin tentunya tidak dilepaskan. “Bukan setakat bekerja di lokasi penghasilan makanan kegemaran saya; tetapi juga peluang untuk mendekati masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, namun disatukan oleh makanan yang disayangi. Mungkin ini satu konsep yang boleh saya bawa balik ke negara saya satu hari nanti, bila keadaan kembali pulih,” sambungnya sambil merenung ke arah bendera Yoruba Land di kiosknya.
Menyedari yang perubahan riak wajahnya disedari kami, Yaya terus menyambung: “Kisah Yoruba Land ini kita sambung pada masa lain, ya? Kes ini sedang diuruskan di peringkat mahkamah antarabangsa ICJ, dan tak manis saya mengulasnya di sini.”
“Mungkin abang nak uji pengetahuan saya mengenai nasi lemak?” tanyanya pula, mengubah topik perbualan.
Jurugambar kami, Latimin Keman pantas bertanya: “Apakah rahsia sambal Nasi Lemak Tanglin sehingga menjadikan rasanya unik dan menyelerakan? Konsisten sepanjang masa pula tu?”
“Sorry abang. Itu kena tanya boss saya,” jawabnya ringkas sambil tersenyum menunjukkan barisan giginya yang putih.
……
Kiosk Nasi Lemak Tanglin di Kompleks Perdanasiswa dibuka dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, setiap hari bekerja. Ditutup pada hari cuti umum, atau
…bila Yaya terlambat bangun.
📸 Latimin Keman / CCO
#UniversitiMalaya
#ServingTheNation
#ImpactingTheWorld