corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UNIVERSITI MALAYA JALIN KERJASAMA INDUSTRI BERSAMA PINTAS UTAMA SDN. BHD. DALAM USAHA MENGESAN TANDA-TANDA AWAL TANAH RUNTUH MENGGUNAKAN SENSOR GENTIAN OPTIK

Universiti Malaya (UM) menerusi UM Capital Berhad dan Pusat Penyelidikan Fotonik telah menandatangani sebuah Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Pintas Utama Sdn. Bhd. bagi tujuan pemasangan sensor-sensor gentian optik di kawasan-kawasan yang mempunyai potensi untuk berlakunya tanah runtuh. 

MoA tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama, Dato’ Ir. Marhalim Mohamed, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UM Holdings, Mohd Zaid Abdul Jalil, di mana ia juga disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, dan Pengerusi Eksekutif Pintas Utama. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan Kementerian Kerja Raya, Dato’ Zahrul Hakim Abdullah. 

Kebelakangan ini, terdapat banyak insiden tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara, termasuklah insiden tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan 31 orang baru-baru ini. Insiden ini telah membangkitkan keperluan untuk mewujudkan satu sistem pemantauan yang efektif untuk mengesan pergerakan tanah di cerun-cerun yang berisiko tinggi bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa disebabkan kejadian tanah runtuh.

Kerjasama ini menyaksikan sinergi kolaborasi di antara pihak Pintas Utama dan Universiti Malaya dalam membangunkan sebuah sistem pemantauan cerun yang efektif. Pintas Utama bakal menyediakan segala keperluan dan kepakaran dalam kerja-kerja kejuruteraan awam manakala Universiti Malaya bakal menyediakan sensor-sensor yang berasaskan gentian optik melalui kepakaran dalam bidang fotonik. Menariknya, sensor-sensor ini dibangunkan sendiri oleh dua orang pelajar Doktor Falsafah dari Pusat Penyelidikan Fotonik iaitu Muhammad Syamil Mohd Sa’ad dan Mohamad Ashraff Alias di bawah bimbingan Datuk Profesor Ulung Dr. Harith Ahmad. 

Pihak Universiti Malaya juga telah berjaya melahirkan ramai pakar dalam pelbagai bidang yang mampu menyumbang kepada negara melalui kolaborasi seperti ini. Di samping itu, kolaborasi ini juga berpotensi memupuk semangat para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menceburi bidang keusahawanan agar dapat menyumbang kepada produktiviti negara pada masa akan datang.

Last Update: Mar 06, 2023